Saturday, March 20, 2010

Dakwah dan bagaimana cara bangsa cina berniaga

NABI SAW amat menggalakkan umatnya menceburi bidang perniagaan. Ini digambarkan menerusi sarananya dalam sebuah hadis yang begitu popular yang bermaksud, "sembilan daripada 10 punca rezeki itu, datangnya daripada perniagaan".(hadis Daif)

Malah sebahagian kehidupan Rasulullah SAW itu telah dihabiskan dalam perniagaan iaitu seawal usia baginda 12 tahun. Dalam kata lain, perniagaan itu amat disarankan atau suatu yang disyariatkan di dalam Islam apatah lagi, ia banyak disebutkan di dalam al-Quran dan hadis.

Allah berfirman yang bermaksud:{Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beroleh kejayaan}. (al-Jumuah: 10).

Sementara sabda Rasulullah SAW: “Peniaga yang benar lagi beramanah digolongkan bersama para Nabi, para siddiqun dan syuhada”. (riwayat at-Tirmizi)

Sayangnya, apabila disebut berniaga, kita lebih membayangkan kepada orang Cina atau bangsa asing yang bukannya beragama Islam. Namun dalam kita sedar ataupun tidak, sebenarnya, Islam itu sinonim dengan perniagaan.

Pendakwah bebas, Fauzi Mustafa berkata, Rasulullah sendiri keluar berniaga seawal usia 12 tahun mengikut bapa saudaranya melakukan urusniaga sehingga ke negara Syam.

“Seharusnya kita mencontohi, bagaimana cara orang Cina menerapkan minat berniaga itu di kalangan anak-anak mereka sejak kecil lagi. Sedihnya, perkara seumpama ini tidak berlaku dalam budaya orang Melayu kita,” katanya.

Kata Fauzi, jadi memang orang Melayu ini sinonim dengan berniaga, lebih-lebih lagi kemakmuran negeri Melaka dahulunya juga adalah menjurus kepada aspek perniagaan sehingga ia muncul sebagai sebuah pusat perniagaan yang cukup terkenal seantero dunia.


“Boleh dikatakan, para pedagang dari seluruh dunia datang berniaga di pelabuhan Melaka, termasuklah perdagang-pedagang yang beragama Islam, ketika itu.

“Malah akhirnya kita menerima Islam menerusi perniagaan. Sebab itulah juga Islam adalah agama dakwah. Kedua-dua ini bergerak seiring,” jelas Fauzi pada forum Etika Peniaga Muslim bersempena dengan pelancaran produk D’Hati Ku keluaran Darul Fuqaha Enterprise di Hotel De Palma, Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Tambah Fauzi, dalam konteks sekarang, apabila sebut peniaga Muslim, mereka tidak dapat lari daripada berperanan sebagai seorang pendakwah. Sayangnya, ada sebilangan peniaga Muslim hari ini tidak menggambarkan diri seorang Islam, apa lagi untuk berdakwah kepada orang lain.

Malah tegas beliau, Imam Ghazali ada menyatakan bahawa, penghalang antara manusia dengan tuhannya banyak bersangkut paut dengan urusan mencari rezeki. Di mana, tidak sempurna urusannya dengan Allah disebabkan dia terkejar-kejar mencari rezeki.

Contohnya, sanggup meninggalkan solat sebab takut rugi, tidak menjaga kebersihan sungguhpun agama Islam amat menekankan aspek kebersihan, soal halal haram, penipuan, adab berdoa diabaikan, tidak menjaga akhlak Muslim serta banyak lagi.

Dikeruhkan pula dalam kita berhadapan dengan situasi ekonomi semasa yang tidak menentu. Secara tidak langsung para peniaga Muslim turut menghadapi pelbagai cabaran seperti peningkatan kos operasi, penguncupan prestasi jualan serta pengawalan kemudahan kredit institusi perbankan.

Lantaran itu, ada di kalangan peniaga yang sanggup menaikkan harga barang, menyembunyikan barang supaya harganya naik, ada pula yang mencampuradukkan barang yang elok dengan yang tidak elok, barang lama dengan barang yang baru. Ditambah lagi apabila menipu dalam timbangan. Kesemua ini adalah haram dalam Islam dan terkeluar daripada etika peniaga yang digariskan oleh syariat Islam.

No comments:

Post a Comment