NABI SAW amat menggalakkan umatnya menceburi bidang perniagaan. Ini digambarkan menerusi sarananya dalam sebuah hadis yang begitu popular yang bermaksud, "sembilan daripada 10 punca rezeki itu, datangnya daripada perniagaan".(hadis Daif)
Malah sebahagian kehidupan Rasulullah SAW itu telah dihabiskan dalam perniagaan iaitu seawal usia baginda 12 tahun. Dalam kata lain, perniagaan itu amat disarankan atau suatu yang disyariatkan di dalam Islam apatah lagi, ia banyak disebutkan di dalam al-Quran dan hadis.
Allah berfirman yang bermaksud:{Apabila telah ditunaikan solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi dan carilah kurnia Allah dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beroleh kejayaan}. (al-Jumuah: 10).
Sementara sabda Rasulullah SAW: “Peniaga yang benar lagi beramanah digolongkan bersama para Nabi, para siddiqun dan syuhada”. (riwayat at-Tirmizi)
Sayangnya, apabila disebut berniaga, kita lebih membayangkan kepada orang Cina atau bangsa asing yang bukannya beragama Islam. Namun dalam kita sedar ataupun tidak, sebenarnya, Islam itu sinonim dengan perniagaan.
Pendakwah bebas, Fauzi Mustafa berkata, Rasulullah sendiri keluar berniaga seawal usia 12 tahun mengikut bapa saudaranya melakukan urusniaga sehingga ke negara Syam.
“Seharusnya kita mencontohi, bagaimana cara orang Cina menerapkan minat berniaga itu di kalangan anak-anak mereka sejak kecil lagi. Sedihnya, perkara seumpama ini tidak berlaku dalam budaya orang Melayu kita,” katanya.
Kata Fauzi, jadi memang orang Melayu ini sinonim dengan berniaga, lebih-lebih lagi kemakmuran negeri Melaka dahulunya juga adalah menjurus kepada aspek perniagaan sehingga ia muncul sebagai sebuah pusat perniagaan yang cukup terkenal seantero dunia.